11 Mei 2012 - 06:52

Serangan bom yang dilancarkan oleh pengganas dikecam PBB.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Majlis Keselamatan PBB mengutuk serangan terbaru pengganas di Damsyiq yang membunuh lebih 50 orang. PBB turut mendesak liga Arab melaksanakan misi perdamaian yang ditaja mereka bersama Kofi Annan.

Sementara itu duta Syria ke PBB, Bashar al-Jafari berkata, negara-negara Arab yang berjiran dengannya sedang menyokong gerakan pengganas al-Qaeda di Syria.

Kerajaan Syria turut menyerahkan nama-nama 26 pengganas asing yang terbabit di dalam keganasan baru-baru ini kepada Majlis Keselamatan.

Khamis lalu 55 orang terbunuh dan hampir 400 orang cedera dalam 2 serangan bom di daerah Al-Qazzaz, Damsyiq.

Pada 9 Mei lalu serangan bom juga telah disasarkan kepada askar Syria yang sedang mengiringi konvoi pemerhati PBB di Dara'a. Dalam kejadian ini enam askar Syria terbunuh.

Beberapa orang pemerhati PBB sekarang ini sedang memantau gencatan senjata di Syria sejak 12 April lalu. Gencatan senjata itu merupakan salah satu daripada 6 perkara pelan damai yang diusulkan oleh Annan pada Mac tahun ini.

Kumpulan pemerhati pertama sampai di Syria pada 15 April selaras dengan resolusi 2043 PBB yang membawa kepada misi pengiriman 300 pemerhati ke Syria.